Sebentar tadi aku terima berita. Abang Long, saudara dua pupu di kampung beritahu. "Putera keduaku dah tak tinggal lagi dengan anak dan isterinya!" Berderau darahku, berdegup agak laju jantungku.
Macam mana boleh begini?
"Dia duduk tempat lain, aku pun tak tahu dimana." Terus abang Long bersuara meredakan sedikit tanda tanyaku yang kian bertimpa-timpa diotakku. Aku melarikan handphone dan bercakap dengan nada gementar di luar rumah, di halaman yang menempatkan tiga buah vespa antik suamiku. Aku rasa lega dan cakap aku tak lah seperti orang berbisik, aku kuatkan suaraku membalas apa yang abang Long katakan. Kalau aku terus di depan tv, tentulah ini tak jadi rahsia lagi, mak mertua dan biras lelakiku berpangkat adik sedang mendengar Buletin Utama. Berita tentang pelbagai bencana melanda di seluruh dunia. Taufan Fengshen di Filipina dan banjir besar menenggelamkan Missouri, di benua Uncle Sam tu.
Abang Long meminta aku menemui anak keduanya itu dan tambahnya lagi dapatkanlah cerita sebenarnya macam mana hal ini boleh berlaku. Katanya lagi, isterinya, yang aku panggil Kak Siti tu dah beberapa hari tak menjamah makanan. Dia sangat sedih dengan perceraian talak satu yang dilafazkan oleh anaknya itu kepada menantunya pada lima hari yang lalu.
Apa yang boleh aku lakukan?
Dah lama aku tidak menemui keluarga ini. Kali terakhir kami bertemu ialah pada hari raya puasa yang telah pun berlalu tujuh bulan. Tidak ada yang retak antara mereka, apalagi tanda-tanda perpecahan antara mereka sebagai suami dan isteri. Hubungan mesra jelas terpancar dalam kehidupan keluarga in. Lima anak yang sedang membesar sentiasa kelihatan ceria. Layanan daripada ibu dan ayah, sangat mencemburukan orang lain. Kehadiran mereka ke rumah persinggahanku di kampung, memeriahkan suasana malam raya kedua. Mereka bergembira, berkejar-kejaran di laman yang seluas satu pertiga padang bola. Mereka teruja dengan rasa bebas lepas di ruang terbuka kerana kebebasan berlari-lari dan berkejar-kejaran ini pastinya tidak diperoleh di rumah mereka di sebuah taman perumahan sederhana di bandaraya Kuala lumpur. Aku dapat membayangkan masa depan anak-anak ini dengan hubungan dan ikatan mesra antara mereka, pastilah hidup mereka akan terus berjaya dan cemerlang.
Terkedu sekejap bila mendengar cerita abang Long tentang anaknya itu. Berkali-kali otakku bersuara "Mengapa jadi macam ni?"
"Siapa yang salah?"
"Siapa yang mulakan dulu?"
"Masri atau Rozita?"
"Atau ada orang ketiga yang menjadi pemisahnya?"
Tidak ada petanda yang dapat menjelaskan keadaan ini hingga boleh membawa kepada perpisahan ini. Aku perlu menanyakan hal ini terus pada Masri dan Rozita sendiri. Aku perlu segera melakukannya. Aku katakan pada abang Long yang aku akan menghubungi Masri selepas ini. Segera aku menyelinap masuk mengambil pensel mencatat nombor handphone baru Masri yang diberikan oleh abang Long. Dengan ucapan assalamualaikum, abang Long menamatkan percakapannya dan dihujung suaranya dia mengharapkan aku akan melakukan sesuatu.
Segera aku hubungi Masri, dengan sabar aku tunggu deringan itu bersambut. Malang sekali, harapan ku berkecai, voice mail dihujung talian. Aku mendail lagi....... tiada jawapan. Akhirnya aku menyimpan rancangan untuk menghantar sms sahaja kepada Masri esok siang sebaik aku selesai dengan tugas menyelaras kerja-kerja di perpustakaan sekolah.
Ini rahsia keluarga. aku perlu berhati-hati supaya tidak kedengaran kepada orang lain yang bertamu di rumahku. Aku menggamit Hamidi, suamiku yang pulang setiap hujung minggu masuk ke bilik sewaktu dia lalu untuk ke serambi. Aku mesti memberitahunya apa yang abang Long bagitahu tadi. Kami perlu membantu Masri dan Rozita memulihkan kembali hubungan yang dah retak ini. Hamidi terkejut! dan jelas dari wajahnya, dia tak percaya apa yang aku katakan sebentar tadi. Bertalu-talu dia mengatakan apa sebenarnya yang terjadi? Macam mana boleh jadi seperti ini? Bila mereka bercerai? Mengapa Masri bertindak begitu? Sudah putuskah fikirannya dengan tindakan tersebut?
Aku buntu. Aku kelu. Aku geleng-geleng kepala. Aku benar-benar tak tahu.
Diam-diam aku menyesali sikap dan tindakan kami yang terlalu mementingkan diri hingga kurang mengambil tahu apa sebenarnya yang terjadi di kalangan keluarga sendiri. Aku akui memang dah hampir tiga kali hari raya, kami tidak mengunjungi Masri dan keluarganya di KL. Inilah kehidupan moden. Hubungan persaudaraan bertambah renggang. ikatan kekeluargaan kian longgar. Jarang bersua, bertanya kahabar berita menjarangkan hubungan silaturrahim ini.
mengantuk le pulak.......
sambung lain waktu.....